Thursday 30 August 2012

HIMPUNAN ISTILAH FIQH DAN HURAIANNYA

Nasakh
Huraian : hukum sebelum ini diangkat dan digantikan dengan yang baru.

Sunnah Qawliyyah
Huraian : Kata-kata dan pengucapan Rasulullah SAW dalam berbagai-bagai persoalan. Sunnah dalam bentuk ini yang terbanyak .

Sunnah Fi’liyyah
Huraian : Perbuatan-perbuatan Rasulullah SAW seperti amalan solat lima waktu dengan sempurna segala kaifiatnya dan perlaksanaan ibadat haji.

Sunnah Taqriyyah
Huraian : Sesuatu yang diperakui oleh Rasulullah SAW dengan mendiamkan diri tanpa membantah atau bersetuju dan melahirkan rasa senang baginda terhadap sebahagian perbuatan dan perkataan para sahabat. Maka, dengan perakuan dan persetujuan itu dianggap sebagai lahir daripada baginda sendiri dan diamnya menandakan perbuatan itu harus dilakukan. Ini kerana Rasulullah SAW tidak boleh mendiamkan diri sama sekali terhadap perkara yang batil atau haram.

Sanad
Huraian: silsilah atau rantaian para perawi hadith yang mereka nukilkannya daripada Rasulullah SAW kepada kita.

Matan Hadith/Matan Sunnah
Huraian : Catatan hadith yang diriwayatkan.

Sunnah Mutawatirah
Huraian : Hadith yang diriwayatkan dari Nabi SAW oleh sejumlah atau sekelompok perawi yang tidak mungkin mereka bersepakat melakukan pendustaan. Kemudian diriwayatkan pula oleh sejumlah perawi dengan sifat tersebut dari satu masa ke satu masa hingga kepada kita, dengan syarat tidak berlaku sebarang kecatatan pada mana-mana peringkat perawi. Hadith yang sabit dengan sanad ini memberikan kita maklumat yang meyakinkan dari segi sanad, wajib beramal dengannya dan kafirlah mereka yang menolaknya kerana mutawatir itu martabat nukilan yang paling tinggi.

Sunnah Masyurah
Huraian : Hadith yang diriwayatkan dari Nabi SAW oleh satu atau dua perawi (bilangan yang tidak sampai kadar jumlah perawi mutawatir) kemudian diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang ramai sampai kepada had mutawatir pada zaman tabiin dan tabi’I al-tabi’in. Hadith ini juga memberikan pengetahuan yang meyakinkan menurut mazhab Hanafi, tetapi di bawah sedikit dari sunnah mutawatirah.

Sunnah Ahad
Huraian : Hadith yang diriwayatkan dari Nabi oleh sebilangan perawi yang tidak sampai kepada had mutawatir dan tidak jadi masyhur. Hadith ini memberikan pengetahuan zanni yang rajah dengan sandarannya yang sah kepada Nabi SAW dan wajib beramal dengannya.

Sunnah Tasyri’
Huraian : Iaitu apa yang terbit dari Nabi SAW atas sifatnya sebagai Rasul yang menyampaikan risalah dari Allah SWT yang dijadikan sumber perundangan.

Sunnah Bukan Tasyri’
Huraian : Iaitu sesuatu yang terbit dari Nabi SAW bukan atas sifatnya sebagai Rasulullah SAW yang menyampaikan risalah Allah, tetapi atas asas sifat baginda sebagai insane atau pengalaman baginda dalam urusan keduniaan.

Ijma’
Huraian : Dari segi bahasa memberi erti berazam dan bertekad melakukan sesuatu. Dari segi istilah fuqaha dan ulama usul, Ijma’ bermaksud ittifaq (sependapat atau sebulat suara) para ulama mujtahidin dari kalangan umat Islam pada bila-bila masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW di atas satu-satu hukum Syara’.

Ijma’ Sorih
Huraian : Iaitu seluruh para ulama’ mujtahidin bersependapat ke atas suatu hukum bagi satu-satu masalah dengan cara berterus-terang di mana setiap orang mujtahid mengeluarkan pendapatnya dan semua pendapat itu bersatu di atas hukum sahaja. Ijma’ seperti ini tetap menjadi hujah tanpa khilaf.

Ijma’ Sukuti
Huraian : Sebahagian ulama’ mujtahidin sahaja yang mengeluarkan pendapatnya sedangkan sebahagian yang lain mengetahui pendapat-pendapat itu tetapi mereka mendiamkan diri tanpa sebarang perakuan dan bantahan. Ijma’ ini tidak menjadi hujjah menurut pandangan Imam Syafi’I dan beberapa tokoh ulama’ yang lain. Sementara sebahagian lain pula berpendapat Ijma’ ini menjadi hujjah juga, Cuma kedudukannya rendah dari Ijma’ Sorih.

Qiyas
Huraian : Dari segi bahasa memberi erti Taqdir dan Musawah (mengukur dan persamaan). Sementara dari pengertian ulama’ usul ialah “Menyamakan sesuatu masalah yang tidak terdapat nas di atas hukumnya dengan masalah yang terdapat nas hukumnya. Persamaan itu ialah dari segi hukum yang telah dinaskan kerana wujud persamaan kedua-dua masalah itu pada ‘illah hukum’”. Al-IstihsanHuraian : Dalam bahasa Arab memberi erti “membilang atau menganggap sesuatu itu baik” . Menurut istilah ulama ialah “ berpaling seorang mujtahid dari mengamalkan kehendak qiyas jaliy (yang nyata) kepada mengamalkan qiyas khafiy (yang tersembunyi)”, atau “berpaling dari mengamalkan hukum kulliy kepada hukum istithnaiy daripada asal kulliy atau prinsip umum kerana terdapat dalil yang menuntut supaya dipalingkan”.

Al-Masalih
Huraian : Dari segi bahasa ialah Jama’ dari Maslahah, sama seperti manfa’ah pada wazan dan makna. Sementara dari segi istilah ialah menarik manfaat dan menolak kemudaratan, ertinya memelihara objektif syara’ menciptakan hukum dengan memlihara al-Daruriyyah al-Khams iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Maslahah Mu’tabarah
Huraian : Maslahah yang diambil kira oleh syara’ dan dibinakan hukum-hakam bagi mendapatkan maslahah itu kebaikan kepada manusia. Di antara lain contohnya maslahah memelihara jiwa maka disyara’kan hukum qisas dan haram mencerobohinya. Bagi maslahah memelihara harta maka diperundangkan hukum potong tangan pencuri, dan bagi kepentingan memelihara akal diperundangkan hukuman minum arak.

Maslahan Mulghah
Huraian : Iaitu apa yang dibatalkan oleh Syara’ dan tidak diberi perhitungan kerana ia menghilangkan maslahah yang lebih besar seperti menyerah kalah kepada musuh, maka ia tidak diperhitungkan oleh Syara’ walaupun ada maslahah memelihara jiwa mereka yang berperang, kerana kalau maslahah ini hendak dijaga sudah tentu ia merugikan maslahah yang lebih besar iaitu memelihara Negara dari dijajah musuh dan mensia-siakan kehormatan dan maruah anak watannya, justeru inilah maka Islam mewajibkan berperang dan menentang musuh. Maslahah MursalahHuraian : Maslahah yang tidak ada dalil syara yang mengambilkiranya atau membatalkannya.

Al-masalih al Mursalah
Huraian : Maslahah-maslahah yang mana syara’ tidak membina hukum-hakam bagi memperolehinya dan tidak ada dalil tertentu yang menunjukkan ia diambilkira atau dibatalkan. Terdapat sebahagian ulama menamakan dalil ini al-Istislah yang bermaksud beramal dengan maslahah.

Qot’ie Thubut
Huraian : Bermakna sumber sesebuah nas itu ialah qot’ie (pasti). Iaitu nas tersebut diriwayatkan oleh golongan sahabat daripada Rasulullah secara mutawatir, lalu golongan tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan sahabat secara mutawatir. Dan golongan Tabi’ Tabiin meriwayatkan nas tersebut daripada golongan Tabiin secara mutawatir … sehinggalah sampai kepada kita. Mutawatir ialah ‘Periwayatan yg berlaku pada setiap peringkat oleh sejumlah manusia yg mustahil berlakunya persepakatan mereka untuk berdusta.’ Nas yg bersifat Qot’ie Thubut ialah Al-Quran dan Hadith Mutawatir.

Dzonni Thubut
Huraian : Bermakna sumber sesebuah nas itu dzonni (tidak qot’ie). Iaitu nas tersebut diriwayatkan daripada Rasulullah tidak secara mutawatir. Nas yg bersifat (Dzonni Thubut) ialah Hadith-hadith selain Hadith Mutawatir. Al-Quran secara keseluruhannya tidak bersifat (Dzonni Thubut) kerana seluruh Al-Quran diriwayatkan secara mutawatir.

Ikhtilaf
Huraian : Dalam bahasa Arab membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara dalam erti kata setiap orang mengambil jalan yang berbeza sama ada dalam perkataan mahu pun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama, oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan “ ”مضادة (mudadah), jadi ia membawa erti yang sama dengan ikhtilaf, walaupun maknanya lebih umum.7 Ikhtilaf menurut istilah fuqaha’ bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat.

‘Urf
Huraian : Dalam bahasa Arab bererti ma’rifah (mengetahui atau pengetahuan) kemudian digunakan dengan pengertian sesuatu yang ma’ruf dan kebiasaan yang dianggap baik serta dapat diterima oleh akal fikiran yang sejahtera. Sementara menurut istilah ialah adat majority sesuatu kaum dari segi perkataan, pengucapan atau amalan. Dan ditakrifkan juga sebagai amalan yang biasa dilakukan oleh manusia dan dihayati dalam urusan kehidupan dan muamalat mereka, sama ada perkataan atau perbuatan atau meninggalkannya.

Sahabi
Huraian : Sahabi atau sahabat mengikut pengertian ulama usul al-Fiqh ialah mereka yang bertemu dengan Nabi SAW dan beriman dengannya, bersahabat dengannya dalam tempoh masa yang agak panjang dan mengambil ilmu daripadanya sehingga wajar dikatakan dia sahabat atau teman rapat dari segi ‘urufnya.

Al-Istishab
Huraian : Dari segi bahasa bererti saling bersahabat atau mengekalkan persahabatan. Adapun dari segi istilah ulam usul memberi erti “menghukum dengan kekalnya sesuatu di atas keadaannya yang dahulu sehingga tertegak dalil yang menunjukkan di atas perubahannya” atau “dikekalkan hukum yang telah sabit pada masa yang lalu sehinggalah didapati dalil yang menunjukkan berubahnya hukum itu. Syar’u man QablanaHuraian : Hukum-hukum yang disyara’kan Allah kepada umat sebelum kita dan diturunkan kepada Nabi-nabi dan Rasul-Rasul yang terdahulu bagi disampaikan kepada umat-umat tersebut.

Qawa’id Usul al-Fiqh
Huraian : Kaedah-kaedah yang menerangkan manhaj atau metodologi atau cara-cara yang semestinya diikuti (iltizam) oleh setiap orang faqih dalam mengistibatkan hukum-hukum syara’ dari dalil-dalilnya yang tafsili dan terperinci.

Qawa’id Fiqhiyyah
Huraian : Merupakan prinsip-prinsip umum dalam fiqh Islami yang merangkumi hukum-hukum syara’ yang umum, selaras dengan masalah-masalah yang telah berlaku dan baru muncul yang termasuk di bawah tajuk prinsip-prinsip berkenaan. Nazoriyyah fiqhiyyah bermaksud pengantar dan asas-asas kepada pengenalan pengajian yang terkandung dalam ilmu syariah dan fiqh sendiri.Qawaid fiqhiyyah Bermaksud kaedah-kaedah umum dalam fiqh Islam yang mana di dalamnya merangkumi hukum-hukum syarak yang berbentuk umum. Dan terjadi hukum tersebut selari dengan kaedah yang terbentuk. Qawaid usuliyyah Penjelasan dalamnya adalah berkaitan masalah-masalah yang mencakupi pelbagai dalil yang terbentuk secara tafsili. Yang mana daripada dalil tersebut mungkin dapat mengistinbatkan hukum.Tapi klu qawaid fiqhiyyah semata2 kepada hukum2 fiqh sahaja. 4-maqasid syariiyah : maksudnya tujuan atau matlamat sesuatu perkara itu dijadikan sebagai hukum. Selalunya bersandarkan kepada perbuatan nabi saw.Dhowabit FiqhiyyahSecara ringkasnya dari sudut bahasa boleh ditakrifkan sebagai kriteria, penanda, ukuran, prinsip, kaedah, piawaian atau tepat. Selain membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila dihubungkan dengan kerangka perbahasan Ilmu Fiqh : ia bertujuan menghimpunkan/meletakkan hukum hakam yang terkandung dibawahnya tepat pada tempatnya ( iaitu menepati prinsip Syara’ . Adapun dari sudut istilahnya : sebahagian Ulama Usul seperti Imam Ibnu Subqi menyatakan bahawa tiada perbezaan antara Dhawabit dan Qaedah Fiqhiah, ia sama sahaja. Bagaimanapun sebahagian Ulama Usul dan Majoriti Ulama lain yang terkemudian, menyetujui takrifan yang diletakkan oleh Imam Ibnu Nujaim iaitu dengan meletakkan maksud yang berbeza di antara kedua-duanya. Sebagaimana berikut : " Bahawasanya Qaedah adalah menghimpunkan perkara-perkara cabang daripada berbagai-bagai bab, Manakala Dhawabit pula menghimpunkannya daripada satu-satu bab fiqh sahaja". Sebagai contoh dalam kitab Al-Qawaid Fiqhiyah Ala Mazhabil Hanafi wal Syafie oleh Doktor Muhammad Zuhaily menyebut : Dhawabit Fiqhiayah : Tidak boleh berpuasa sunat atau bermusafir seseorang wanita melainkan dengan keizinan suaminya". Jelas prinsip tersebut mengkhususkan dalam bab itu sahaja. Manakala Qawaid Fiqhiyah : keyakinan itu tidak boleh dihilangkan dengan syak " . prinsip ini pula boleh diguna pakai dalam pelbagai bab, dengan syarat meletakkan kaedah tersebut tepat pada perbahasannya. Jadi skopnya lebih umum dan luas praktikalnya. Penjelasan yang lain : " Sesungguhnya Dhawabit iaitu apa yang berkaitan dengan bab furu yang tertentu sahaja. Sebagaimana ia ditakrifkan sebagai kompilasi hukum yang terhimpun daripada satu-satu bab sahaja. Apabila dhawabit tersebut membicarakan tentang bab solat, maka ia menjadi Ibarat ( gambaran ) dalam bab itu sahaja. Di sini menunjukkan terdapat perbezaan dengan kehendak kaedah tadi, apabila kita menyebut tentang suatu Qawaid Fiqhiah, ia boleh merungkaikan barat ( gambaran ) hukum dalam pelbagai bidang yang berkaitan. Dengan hanya ungkapan yang pendek Asal dalam sesuatu perkara itu adalah harus maka ia boleh dihubungkan dengan bab ibadat, muamalat, munakahat atau jenayah. Seperti contoh yang disebutkan di atas tadi. Kesimpulannya di sini dapat kita fahami bahawa ungkapan bagi Qawaid Fiqhiyah itu adalah ringkas, lebih umum tetapi ia mampu diaplikasikan dalam pelbagai bidang fiqh. Manakala Dhawabit fiqhiyah pula lebih khusus, menggunakan ungkapan yang terperinci kepada satu-satu permasalahan dan bab sahaja

No comments:

Post a Comment